GURUN: Aspek pembangunan dan peluang anak muda akan menjadi misi dan tawaran utama bagi calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari di Gurun.

Menurutnya, anak muda di kawasan berkenaan perlu memiliki keseimbangan dalam soal kerjaya dan kehidupan sosial.

“Kita akan tumpukan TVET Vokasional untuk anak-anak muda di Gurun untuk dapatkan sijil kerana penting untuk kita angkat kemahiran mereka.

“Setelah ada kemahiran kita akan bawa mereka kepada peluang kerjaya dimana kita akan salurkan golongan ini kepada Perkeso khususnya bagi program MyFuture Job yang akan tawarkan sebanyak 4,000 peluang pekerjaan,” katanya ketika ditemui mengadakan lawatan ziarah kasih baru-baru ini.

Selain itu, anak kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Johari Abdul itu juga sedar akan kepentingan pembangunan sukan anak muda di kawasan Gurun yang turut memerlukan perhatian dari segi pembangunan.

“Kita akan fokus aktiviti sukan anak muda lazimnya bola sepak, takraw dan sebagainya kerana apa yang lebih penting adalah kemudahan dan fasiliti yang perlu dibaiki supaya mereka selesa dengan kemudahan yang ada,” katanya.

Bercakap mengenai kapasitinya sebagai anak kepada Speaker Dewan Rakyat dan juga ‘orang lama’ di dalam arena politik, beliau tidak menganggap itu sebagai tiket untuk terus berasa selesa bertanding di kerusi berkenaan.

Firdaus Johari ketika mengadakan sesi ziarah kasih di sekitar Gurun.

Bagaimanapun katanya, beliau akan memanfaatkan segala ilmu dan resipi yang telah diturunkan oleh bapanya untuk terus bergiat dalam politik dan berkhidmat kepada rakyat.

“Saya berdiri di atas kaki sendiri. Ayah (Johari Abdul) banyak turunkan ilmu dan beliau berikan sokongan moral dan segala pengalaman itu dikongsi supaya kita dapat teruskan berkhidmat,” jelasnya.

Menyedari pertembungan beliau bersama dengan bintang bola sepak tanah air di kerusi berkenaan, Firdaus tidak menganggap itu sebagai satu halangan besar dan cabaran terhadapnya.

Firdaus yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Jerai itu berpendirian, apa yang lebih penting adalah niat untuk berkhidmat di kawasan tersebut.

“Sebenarnya bergantung kepada niat (berkhidmat) dan saya melihat beliau (Baddrol) sebagai seorang pemain bole sepak yang hebat sewaktu berada di dalam padang tetapi ketika ini merupakan padang yang sebenar (PRN15).

“Kalau niat kita turun padang untuk bantu rakyat dengan ikhlas ia tidak menjadi satu tekanan untuk kita bekerja di bawah,” jelasnya lagi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun menyaksikan pertembungan satu lawan satu yang terdiri daripada Fidaus Johari (PH) dan juga Baddrol Bakhtiar yang mewakili Perikatan Nasional (PN).